Thursday, August 6, 2015



'DEMI ALLAH, SAYA AKAN CARI KE LUBANG CACING'.
Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin hari ini bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.
"Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini.
"Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini.
"Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat.
“Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing," beliau berkata.
Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Difahamkan, individu yang ditahan termasuk orang nombor tiga dalam operasi khas SPRM, Roslan Che Amat, serta menyerbu pejabat mereka di Putrajaya, dipercayai berkaitan kertas pendakwaan bocor terhadap perdana menteri.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Selain dua ditahan hari ini, polis setakat ini menyiasat lima lagi pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.
Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua peseuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.
Bahri turut disiasat pada Isnin lalu.

0 comments:

Post a Comment