Tuesday, August 25, 2015



Peka pada rintihan rakyat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kerajaan perlu menangani keadaan politik dan ekonomi yang tidak stabil.
Baginda bertitah, walaupun raja tidak boleh mencampuri politik, baginda tetap bertanggungjawab memastikan kehidupan rakyat Johor dalam keadaan baik, maju dan makmur.
“Oleh itu saya menggesa kepada pihak kerajaan yang memerintah supaya segera menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi sekarang ini, antaranya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang amat teruk,” titah baginda.
Ringgit sekarang jatuh melebihi paras RM4 untuk sedolar Amerika Syarikat, prestasi terburuk dalam 17 tahun.
Laporan menyebut ia antaranya berpunca daripada kejatuhan harga komoditi, pengaruh matawang China, jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat serta keadaan politik yang tidak stabil.
Baginda bertitah demikian sempena hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas yang ke-50. Petikan ucapan itu dimuat naik ke Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Urusan orang Johor
Sementara itu, mengulas penggunaan istilah Bangsa Johor, Sultan Ibrahim bertitah bahawa ia bukan istilah atau konsep baru.
Malah, titah baginda, lagu negeri sendiri dinamakan “Lagu Bangsa Johor”.
“Oleh itu, kepada orang luar yang tidak tahu sejarah Johor, Saya nasihatkan supaya jangan masuk campur dalam urusan orang Johor.
“Saya berharap rakyat bangsa Johor yang berbilang agama dan keturunan akan hidup harmoni dan bersatu padu demi untuk kemakmuran dan keamanan Negeri Johor Darul Ta'zim,” titah baginda lagi.

0 comments:

Post a Comment