Tuesday, August 18, 2015


PENDANG - Tidak ada masalah jika seseorang menteri atau anggota pentadbiran kerajaan mengambil anggota keluarganya sebagai pembantu jika ia tidak melibatkan sebarang pembayaran gaji atau elaun oleh kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
   
Perdana Menteri berkata apa yang tidak dibenarkan adalah sekiranya ia melibatkan pembayaran gaji atau elaun oleh kerajaan.
   
"Kalau sukarela dan bukan anggota pejabat menteri, kita tiada halangan. (Boleh jika) dia bantu dari segi program dan tak melibatkan sebarang pembayaran kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, Pelancaran Pelan Integriti Felda dan Majlis Hari Raya di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.
   
Najib berkata dalam isu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang didakwa mengambil anaknya sebagai pegawai khas di kementeriannya, beliau difahamkan anak menteri itu bukan pembantu rasmi yang dibayar kerajaan.
   
"Saya difahamkan bukan pembantu rasmi, hanya membantu secara tak rasmi. Takde pun dalam senarai sebagai pembantu menteri yang dibayar gaji dan elaun oleh kerajaan," katanya.

Banyak pihak mempertikaikan tindakan Mohamed Nazri mengambil anak lelakinya bekerja di kementerian yang beliau sendiri adalah Menterinya.
   
Bagaimanapun, Mohamed Nazri menjelaskan bahawa pelantikan anaknya itu adalah pelantikan tidak rasmi dan tidak dibayar gaji oleh kerajaan.
   
Mengenai cadangan supaya semua Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) diwajibkan mengisytiharkan harta mereka setiap tahun, Najib berkata setakat ini kerajaan hanya menetapkan anggota pentadbiran kerajaan yang mesti mengisytiharkan harta masing-masing.
   
"Anggota Parlimen tiada kuasa eksekutif dan mereka boleh menjalankan perniagaan. Takde halangan (berniaga) asalkan jangan ada 'conflict of interest' (konflik kepentingan)"," katanya.
   
Perdana Menteri berkata aset dan harta yang diisytiharkan oleh anggota pentadbiran kepada beliau juga boleh memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemaknya.
  
"Walaupun tiada aduan, SPRM boleh semak senarai aset yang mereka isytiharkan kepada saya," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment