Sebaliknya kata Perdana Menteri, beliau akan terus menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh tiga juta ahli UMNO di negara ini.
Menurutnya, pemilihannya sebagai Presiden parti dibuat mengikut proses demokrasi dan beliau akan terus memegang amanah itu selepas diberi kepercayaan oleh parti dan kerajaan.

“Jika seorang suruh saya turun, saya tidak akan turun kerana terdapat lebih tiga juta ahli UMNO di belakang (menyokong) saya. Saya dipilih (untuk menjadi Presiden) menerusi proses demokrasi dan kenyataan saya ini bukan angkuh, tetapi saya diamanahkan oleh ahli dan rakyat untuk mentadbir parti dan negara.

“Untuk itu saya minta supaya jangan ganggu saya kerana saya cuba membuat yang terbaik untuk negara, parti, bangsa dan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Hotel Equatorial Banda Hilir di sini petang ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron; Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik; Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Penegasan Najib itu mendapat tepukan gemuruh dan sokongan padu daripada kira-kira lebih 1,000 perwakilan dan ahli parti yang menghadiri persidangan perwakilan tersebut.

Menurut Najib, proses pemilihan parti yang diamalkan sejak Perlembagaan UMNO dipinda pada 2009 adalah berbeza dengan sistem diamalkan sebelumnya.

Katanya, mengikut sistem lama, kira-kira 2,500 perwakilan boleh mengundi manakala Presiden UMNO mempunyai undi bonus.
“Selepas itu (hendak bertanding) ada kuota, sesiapa yang hendak mencabar Presiden mesti ada 63 pencalonan. Tuan-tuan ingat senangkah hendak dapatkan undi 63 bahagian?. Jika begitu saya pun boleh menjadi Presiden selama 23 tahun.

“Saya hadapi cabaran ini kerana hendak memastikan parti UMNO lebih inklusif, kukuh dan mampu membela nasib bangsa, agama dan negara, malah lebih daripada 160,000 ahli telah memilih saya sebagai Presiden parti,” katanya.

Najib dalam pada itu turut meminta semua ahli parti supaya bersikap tidak terlalu angkuh atau beranggapan parti tersebut kini semakin lemah, jika ingin terus memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Saya tidak mahu ahli UMNO menganggap kita terlalu lemah atau terlalu kuat, sebaliknya biarlah kita bersederhana. Pada masa yang sama, saya mahu ahli parti terus mengamalkan semangat setiakawan, janganlah hanya menyokong ketika senang dan meninggalkan kita semasa susah,” katanya.

Beliau turut membayangkan sekiranya UMNO gagal memenangi hati rakyat pada masa akan datang, akan wujud `terbangsatnya bangsa' Melayu di negara ini.

“Saya pilih perkataan ini kerana walaupun perit tetapi inilah hakikatnya jika kita (UMNO) tidak lagi menerima sokongan daripada kaum itu sendiri,” tegasnya