Monday, August 10, 2015


Selepas membatalkan jemputan untuk Datuk Seri Najib Razak, Umno Semporna kini berharap dapat mendengar sendiri amanat dan penjelasan daripada timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber, keadaan itu juga didorong oleh sentimen ahli akar umbi yang berasa Muhyiddin serta ketua bahagian mereka, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, patut memberikan penjelasan sendiri berhubung isu yang melanda Umno.

“Tambahan pula Muhyiddin dan Mohd Shafie kini disekat daripada merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian yang sedang berlangsung sekarang,” katanya.

Justeru, kata sumber dekat dengan Mohd Shafie itu lagi, wajar untuk Umno Semporna menjemput bekas timbalan perdana menteri itu untuk memberikan beliau platform seluas-luasnya memberikan penjelasan kepada parti.

Mohd Shafie dan Muhyiddin adalah dua menteri kanan Umno yang diketepikan dalam rombakan kabinet Najib pada 28 Julai lalu.

Pemecatan itu dikatakan berpunca daripada kelantangan mereka mempersoalkan cara Najib menguruskan isu skandal 1MBD.

Ahad lalu ketika menghadiri majlis rumah terbuka pegawainya di Kampung Kubang, Nilai Negeri Sembilan, Mohd Shafie sempat secara tersirat menyampaikan lagu Tak Ingin Sendiri kepada hadiri.

Menariknya, lirik lagu itu diubah suai Mohd Shafie menjadi:

Aku masih seperti yang dulu
Orang Umno sampai akhir hayatku
Kesetiaanku tak luntur
Hatiku rela berjuang
Oh kasih oh sayang

Sumber Umno berkata, desakan dan keresahan ahli akar umbi disampaikan kepada Mohd Shafie baru-baru ini.

Katanya, mereka mahu mendengar sendiri penjelasan daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam krisis dalaman Umno sekarang.

“Warga Semporna tertunggu-tunggu kehadiran mereka,” katanya.

0 comments:

Post a Comment