Monday, August 10, 2015


Isu pemindahan wang ke dalam akaun peribadi PM Datuk Seri Najib Razak yang berjumlah RM 2.67 bilion terus menarik perhatian semua pihak dalam atau luar negara.

Ulasan dan penjelasan pemimpin politik Umno dan BN termasuk PM Najib makin mengelirukan dan menjadi bahan lawak jenaka di kalangan rakyat. Saya percaya jika ia dijadikan skrip atau bahan utama lawak untuk Pertandingan Maharaja Lawak sudah pasti akan dinobatkan sebagai lawak terbaik musim ini.

Apa yang diperlukan ialah penjelasan  yang sejujurnya daripada PM Najib, apakah status sebenar wang yang dimasukan ke dalam akaun peribadi beliau? Adakah wang daripada pengirim itu sumbangan derma atau satu bentuk bayaran? Mustahil beliau tidak mengetahui siapa pengirim dan apa tujuan kiriman wang tersebut ke dalam akaun beliau?

Ini kerana, dokumen kiriman wang yang didedahkan menunjukkan tulisan "partial payment" (separa bayaran) dan "second part for final payment" (bahagian kedua untuk bayaran akhir) ke akaun persendirian milik Najib.

Najib perlu menjelaskan bayaran tersebut daripada siapa dan untuk kerja apa dan adakah bayaran tersebut dibayar atas apa-apa kerja dan perkhidmatan yang diberikan? Apakah kepakaran yang ada pada Najib sehingga beliau boleh menghasilkan pendapatan yang begitu lumayan?

Saya harap Najib dapat berkongsi idea dan pengalaman pekerjaan serta perkhidmatan yang beliau ada dengan rakyat Malaysia agar lebih ramai rakyat Malaysia mencapai tahap berpendapatan tinggi. Maka tercapailah hasrat untuk melihat negara berpendapatan tinggi.

Rakyat Malaysia sedang menanti penjelasan PM Najib.

1 comments: