Friday, September 5, 2014



Hero filem Mamat Cupcakes, Shaheizy Sam ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem itu di Cathay Cineplex kelmarin, telah menjelaskan yang dia berhasrat untuk berehat dari berlakon tetapi bukanlah dalam jangka masa yang terdekat.

Ini kerana baginya dia perlu mengukuhkan diri dari segi kewangan kerana banyak tanggungan yang perlu dia laksanakan sebelum dia berehat. Menyentuh soal kerjayanya kini, dia berkata bahawa segala apa watak yang dibawanya lebih-lebih lagi komedi adalah sudah tepu kepada dirinya, malah dia sejujurnya sudah penat dengan watak-watak yang sedemikian.

Apabila menyentuh pula dari segi kualiti dan kuantiti dalam setiap kerjaya sebagai pelakon, Sam memberitahu bahawa dia memilih kuantiti berbanding kualiti disebabkan faktor-faktor kewangan dan keadaan ekonomi semasa.

Baginya sekiranya memilih kualiti dia perlu fokus pada satu benda sahaja dan memilih filem atau drama yang benar-benar berkualiti dan memberi pulangan yang setimpal.

“Saya memilih kuantiti berbanding kualiti kerana saya memikirkan keadaan ekonomi keluarga, apabila sakit atau apa sahaja kecemasan yang berlaku kita masih ada sumber tertentu untuk membiayainya. Ini termasuklah keluarga saya, kalau boleh saya mahu menyenangkan keluarga saya terlebih dahulu. Saya juga perlu menyimpan di masa akan datang atau apabila suatu hari nanti saya sudah tidak popular”

”Kualiti pula bagus sekiranya kita benar-benar mengikutinya, kalau mahukan kualiti seseorang pelakon itu perlulah fokus pada satu benda sahaja, kalau buat filem kena fokus pada satu filem sahaja begitu juga dengan drama apabila hanya memilih naskhah yang terbaik sahaja untuk dilakonkan. 6 bulan sekali barulah akan ada kerja baru”

”Tapi saya tak sanggup untuk tidak bekerja selama 6 bulan kerana semata-mata untuk dipanggil berlakon di Hollywood,” katanya panjang lebar



0 comments:

Post a Comment