Thursday, September 4, 2014



Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan isteri penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun supaya membayar kos mahkamah sebanyak RM500 kepada suaminya itu ekoran gagal hadir pada sebutan kes hak penjagaan anak kekal (hadanah) terhadap tiga anak mereka pada Rabu.

Rozana, 36, hanya muncul pada sebutan kes tersebut kira-kira 20 minit selepas sidang bermula ditemani peguamnya Majdah Muda.

Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain bagaimanapun mengekalkan kos berkenaan terhadap Rozana selaku defendan dan meminta agar perkara itu dirujuk kepada kaunter mahkamah sekiranya ingin membuat rayuan.

Peguam Syarie, Majdah pada prosiding berkenaan turut menyerahkan secara kendiri di hadapan Mohd Amran afidavit pembelaan untuk permohonan hadanah yang difailkan oleh Awie sebelum ini.
Bagaimanapun peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memohon kepada mahkamah agar mendengar terlebih dahulu bantahan awal untuk mengenetepikan perintah interim (penjagaan sementara) yang difailkan Rozana sebelum mendengar kes-kes lain.

Mahkamah membenarkan permohonan Mohd Zaid dan mengekalkan tarikh 17 September ini bagi mendengar hujahan bantahan awal itu.

Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka daripada Mahkamah Tinggi Syariah, di sini iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment