Wednesday, August 12, 2015


Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin meramalkan bahawa Datuk Seri Najib Razak pasti kecundang ekoran skandal sumbangan derma dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri itu.

Katanya, Najib tidak akan dapat terus bertahan untuk mengetuai pentadbiran negara kerana kepercayaan rakyat ke atas kerajaan BN kini semakin luntur.

“Pemerintahan serta ekonomi negara akan terus terumbang-ambing kerana kredibiliti kerajaan yang rendah.

"Umno dan BN akan semakin lumpuh dan pembangkang mempunyai modal besar untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.

Dalam senario kedua, beliau berkata, ahli parlimen boleh menggunakan kuasa untuk mengemukakan undi tidak percaya ke atas perdana menteri

“Ahli Dewan Rakyat daripada BN dan pembangkang boleh membuat pakatan dua pihak untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau atau melalui perutusan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.”

Namun, golongan ini mungkin tidak mempunyai keazaman politik untuk berpakat menjatuhkan Najib dengan cara itu, katanya.

Beliau menambah, perhimpunan besar juga boleh dijalankan untuk menggerakkan keingaran sivil bagi memaksa perdana menteri meletak jawatan.

Satu lagi cara adalah melalui saluran kehakiman, kata Kadir lagi yang menjelaskan, masyarakat umum kini berpendapat, terdapat bukti yang memadai untuk mendakwa Najib di mahkamah berhubung kes tersebut.

“Jalan keluar terhormat dan terjamin bagi Mohd Najib adalah merundingkan laluan selamat di mana beliau tidak akan dituduh di mahkamah dengan syarat beliau meletakkan jawatan.

“Namun inilah yang diidam-idamkan oleh pembangkang kerana ia akan memberikan mereka modal mutakhir untuk pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, Najib buat masa ini hanya mampu mengekalkan kuasa dengan menggunakan kuasa politik dan wang ke atas pemimpin Umno dan anggota Kabinet, selain usaha menambat hati atau menekan penjawat awam, katanya.

“Malangnya, bagi rakyat jelata, masalah mereka tidak akan dapat ditangani dengan berkesan.

"(Ini) kerana tumpuan perdana menteri adalah untuk menyelamatkan diri beliau dahulu selain hakikat bahawa kerajaan pimpinan beliau telah hilang keyakinan umum,” kata Kadir lagi

0 comments:

Post a Comment