Setiap wanita Muslimah pasti mengimpikan syurga Allah. Panduan untuk mendapatkan apa yang dihajati ini hanya melalui empat rahsia. Jika keempat-empat rahsia ini dilaksanakan, insya-Allah, syurga sedang menantimu.
1 – Solat Fardu 5 Waktu
Jika anda patuh perintah ini tanpa gagal, tahniah, anda sudah mendapat merit untuk masuk ke syurga. Bayangkan jika anda solat pada penghujung waktu atau solat dalam keadaan yang tergesa-gesa, bagaimana anda ‘berani-berani’ nak minta syurga daripada Allah? Berikan kesempurnaan pada ibadah paling utama ini dahulu dan mohonlah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.
2 – Berpuasa Di Bulan Ramadhan
Anda bermula dengan sebuah niat, kemudian anda berusaha menahan diri daripada makan dan minum, akhir sekali berbuka puasa. Mungkin orang yang tidak faham Islam, tidak akan nampak bahawa ini ialah latihan rohani dan jasmani untuk ahli syurga seperti anda.
Puasa selama sebulan berturut-turut bukan sahaja melatih ‘otot’ kesabaran dalam hati, tetapi menyihatkan tubuh badan secara semula jadi.
3 – Menjaga Kehormatan Diri
Wanita, anda memang golongan penduduk bumi yang dilindungi. Hijab dan pakaian labuh/longgar bukan sahaja menutup aurat diri, tetapi membalut hati anda daripada perkara kemungkaran secara sendiri. Pakaian Muslimah yang mengikut syariat itulah pakaian buat wanita syurga di atas dunia.
Berbanggalah anda menutup aurat dengan sempurna kerana mungkin itu petanda anda bakal ahli syurga jika memenuhi semua syarat yang lain. Selain pakaian, menjaga kehormatan diri juga bermaksud menjaga tingkah laku dan menjaga batasan dalam pergaulan.
4 – Taat Perintah Suami
Bayangkan jika suami anda meminta anda membuat air dan anda buatkan, ketahuilah malaikat sedang mencatat markah ke dalam kitab amalan anda. Bertambah-tambah markah anda dalam misi ke syurga. Anda hanya membancuh minuman kegemarannya, bukan bertadarus 30 Juzuk. Itu pun sudah ‘gemuk’ pahalanya, apatah lagi jika anda melakukan ibadah sunat kerana suami, pasti di tahap ‘obesiti’ kantung pahala anda!
sumber:majalah nur
0 comments:
Post a Comment