Dia hanya mampu berhenti di kaki tangga masjid, duduk di kerusi rodanya dan kepalanya tertunduk longlai. Sekali sekala menyapa lemah para makmum yang melewati.
Awalnya hatiku gagal menangkap kehebatan sosok tubuh ini mungkin dek kerana kakinya yang mungkin tidak mampu menjejak bumi. Mungkin keadaanku yang tergesa2 naik ke ruang solat untuk menunaikan solat maghrib menyebabkan kehadirannya di situ ku anggap biasa2 sahaja.
Usai solat maghrib kami sekeluarga terus menuju kedai makan tepi jalan berhadapan dengan masjid untuk makan malam kerana waktu berbuka tadi kami hanya sempat berbuka puasa dengan roti yang diagih2kan oleh Pihak Tesco pada malam sebelumnya di Masjid Sultan Ibrahim. Mujur kakak Sofiyyah dan Abqari sempat membawa bersama bungkusan makanan Tesco tersebut dari rumah.
Rancangan awal untuk berbuka puasa di Tesco Extra terpaksa dibatalkan kerana perlu berurusan dengan pihak pembekal biskut raya. Sebahagian biskut raya yang kami jual kami ambil dari pembekal untuk menambah pilihan kepada biskut2 homemade yang kami buat sendiri dengan jenama Mubarak Cookies yang kini boleh didapati di pintu masuk utama Tesco Kuala Selangor.
Kesian pula dengan anak2 yang masih kelaparan meminta makanan yang lebih ‘special’ untuk malam ini. Tanpa berlengah kami bersegera menuruni tangga masjid menuju kedai makan tersebut. Dan pemuda istimewa itu masih di situ. Dengan wajahnya tertunduk lesu.
Azan isyak berkumandang. Alhamdulillah Tuhan gembirakan juga kami dengan makan malam yang lazat. Benarlah sepertimana hadis mengatakan kegembiraan Mukmin yang berpuasa itu saat berbuka.
Setelah habis azan kami kembali ke masjid untuk solat Isyak. Hairan, pemuda itu masih di situ. Dalam keadaannya yang seperti tadi. Sesekali mengangkat kepalanya melemparkan senyuman melihat telatah anakku Abqari berlari dan bermain sambil menaiki tangga. Plastik teh o nya bersama bungkusan makanan masih tergantung rapi di pemegang kerusi rodanya. Ku kira dia berbuka puasa di situ tadi. Di tempat yang sama.
Selesai solat Isyak, kami bercadang untuk pulang berterawih di rumah sahaja memandangkan masih ada sejam lagi perjalanan yang perlu ditempuh. Kami pun menuju ke kereta. Menuruni anak tangga masjid dan pemuda itu masih di situ.
Sesampai di kereta, rancangan untuk pulang terus gagal memandangkan ada jemaah terawih yang meletakkan kenderaannya di belakang kami. Kami terhalang untuk pulang. Plan B. Selesaikan terawih di masjid itu. Mudahan2 pemilik kereta itu membuat 8 rakaat supaya kami dapat pulang awal. Perancangan ALLAH. Kami pasrah. Walaupun badan sudah keletihan. Berkat Ramadhan kami gagahi jua.
Menuju semula ke ruangan solat di tingkat atas. Tanpa disangka bertemu lagi dengan pemuda berkerusi roda tadi. Dia masih di situ. Ku lewat di hadapannya. Ku lihat kedua tangannya terangkat sedikit.
Berderau darahku sedikit kali ini melihat situasi itu. Rupanya dia sedang mengangkat takbir untuk mengikut imam yang baru memulakan solat terawih di tingkat atas.
Entah kenapa, bagaikan ada hembusan yang bertiup di hati ini melihatnya sedang lemah mengangkat takbir.
Kagum, hiba, sedih. Bercampur baur. Tanpa berlengah Ku capai handphone dari poket. Segera aku snap sosok tubuh yang sedang solat di atas kerusi roda itu sambil menaiki tangga.
KAGUM. Dia kurang upaya. Namun jiwanya yang bersungguh mencari cinta Tuhannya membuatkan dirinya gagah perkasa menunggu di situ sejak maghrib hingga terawih dalam keadaan sekeliling yang kurang selesa. Tidak menjadikannya alasan untuk ternafi daripada melayakkan dirinya menjadi Insan bertaqwa sepanjang Ramadhan.
SEDIH. Aku yang lebih kelihatan lebih sempurna secara fizikal daripadanya tak setabah itu dalam membuktikan kesungguhanku untuk meraih rahmat ALLAH di bulan Ramadhan.
HIBA. Mungkin berkat DOA Insan2 sepertinya, Aku dan seluruh umat Islam diberi ALLAH kekuatan dan kesihatan untuk menjalani ibadah di bulan Ramadhan.
Ya, perancangan ALLAH menginginkan aku mengambil hikmah. Tiada yang sia2 di dalam tadbir Yang Maha Esa. Syukurku ya ALLAH.
Hidupkanlah hatiku ya ALLAH supaya apa sahaja yang berlaku di sekelilingku walaupun sekecil2 perkara, memperjelaskan lagi kebesaranMu di mataku.
Ku turuni anak2 tangga itu sekali lagi setelah terawih untuk pulang dan INSAN ISTIMEWA itu sudah tiada di situ. Mudahan2 pihak pengurusan masjid dapat membuat sesuatu supaya pemuda tadi dapat menunaikan solat di ruangan solat di tingkat atas. Tak terbayang betapa gembiranya dia nanti sekiranya waktu itu tiba.
IMANnya pada TUHANnya telah menguatkan dirinya yang lemah di pandangan INSAN.
0 comments:
Post a Comment