Saturday, August 15, 2015


Bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini tampil membayangkan bahawa tiada sebarang rancangan untuk "menggulingkan kerajaan".

"Kalau nak guling (kerajaan) kena ada tentera. Kalau orang biasa tak boleh nak guling. Ahli parlimen atau orang luar kalau tak cukup bilangan (pun) tak boleh buat.

"Kalau (sesiapa) nak buat (jatuhkan kerajaan), kena mesti menerusi apa yang ditentukan perlembagaan," kata Tengku Razaleigh ketika ditemui media di Rumah Terbuka Hari Raya, di Kuala Lumpur hari ini.

Pagi tadi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada seorang pemimpin Umno sedang memainkan peranan untuk "menjatuhkan kerajaan" dengan kerjasama ahli parlimen pembangkang.

Ahmad Zahid juga mendakwa pihak terbabit turut mengumpul sokongan daripada wakil rakyat BN di parlimen untuk mendapatkan majoriti bagi menjatuhkan kerajaan "melalui jalan belakang".

Tak senang hati, kemuka usul

Sementara itu, ketika ditanya pemberita Tengku Razaleigh mengakui beliau bertemu dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Selasa lalu.

Beliau berkata tiada apa-apa yang penting dibincangkan pada pertemuan itu kerana beliau sering bertemu sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Najib Razak.

Tengku Razaleigh berkata, ahli parlimen boleh menjatuhkan kerajaan mengikut perlembangaan persekutuan iaitu mengemukakan undi tidak percaya kepada Najib di parlimen.

"Ini perkara biasa. Mana-mana pihak yang rasa tak senang hati dia boleh kemukakan usul.  Kalau ada bilangan cukup, berjayalah. Kalau tak ada bilangan cukup, tak boleh," katanya.

Ditanya kemungkinan wujudnya dua kelompok dalam Umno seperti sejarah parti itu sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tidak ikuti (apa yang berlaku), saya cuma bimbang... rakyat menghadapi masalah sekarang.

"Dengan kerajaan yang baru disusun semula saya harap mereka akan bekerja bersungguh-sungguh untuk membaiki kehidupan rakyat," katanya

0 comments:

Post a Comment