Sunday, July 5, 2015


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto 

BERNAMA SEMENYIH: Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau selaku Perdana Menteri yang dipilih rakyat tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini. Beliau berkata, pihaknya tidak akan membenarkan anasir luar untuk menggugat dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat, sesuka hati mereka. "Ini adalah janji saya," katanya ketika berucap pada majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini hari ini. Najib berkata, beliau telah menjadi mangsa serangan di media sosial bertubi-tubi kebelakangan ini termasuk menuduhnya 'songlap' sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya. "Sehari dua ini, mereka telah membawa macam-macam berita. Saya telah menjadi mangsa kepada serangan mereka secara bertubi-tubi kononnya saya songlap duit yang besar. "Saya berterima kasih kerana ramai juga menyatakan bahawa mereka tidak percaya (songlap duit)," katanya. Najib juga berkata, pembangkang telah menggunakan media sosial memainkan isu bagi mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin BN. Beliau berkata, media sosial kini bukan lagi mencari kebenaran tetapi membawa berita terkini tanpa mengira ketepatan dan kesahihan laporan yang disiarkan. "Matlamatnya bukan untuk mendedahkan kebenaran tetapi untuk mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin. "Ini bukan untuk membina akal budi rakyat supaya berfikir secara matang, mengisi minda kita dengan fakta benar sebaliknya apa yang mereka lakukan ialah ubah persepsi. "Itulah matlamat mereka. Kalau persepsi negatif, mereka boleh tambah undi masa pilihan raya," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment