Friday, July 3, 2015


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meluluskan kenaikan kadar khas 10% iaitu harga lebih daripada kadar biasa bagi semua bas ekspres bermula 10 Julai hingga 27 Julai ini.

Perkara ini diumumkan oleh SPAD dalam satu kenyataan kerana langkah tersebut adalah untuk memastikan perkhidmatan pas ekspres tidak tergendala selain memastikan permintaan pengguna tehadap bas mencukupi di musim perayaan.

"Selain itu, kelulusan ini mengambil kira pelbagai faktor seperti menambah baik tahap pengendalian bas-bas tambahan, memperkemaskan sistem pengawasan bas ekspres dan mengekalkan mutu perkhidmatan bas ekspres bagi tujuan menjamin keselesaan dan keselamatan penumpang pada musim perayaan," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun pihak SPAD meminta supaya bas ekspres tambahan pada musim perayaan ini di Kuala Lumpur haruslah bertolak atau tiba menggunakan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Mereka mengingatkan supaya orang ramai yang hendak membeli tiket hendaklah membeli tiket di kaunter tiket yang sah sahaja bagi mengelakkan kegiatan ulat tiket.

"Tiket yang sah adalah yang dicetak komputer, serta mempunyai nama syarikat dan nombor bas yang akan dinaiki penumpang. Pengguna diminta untuk memeriksa maklumat yang tertera pada tiket dan mengesahkannya semasa di kaunter pembelian. 

"Bagi penumpang yang akan menaiki bas tambahan pula, mereka boleh memeriksa nombor pendaftaran bas berkenaan sepertimana yang telah didaftarkan dengan SPAD melalui lampiran yang dipamerkan di kaunter penjualan tiket," kata kenyataan itu.

Kepada pengguna perkhidmatan bas ekspres yang mengalami masalah dan hendak membuat aduan bolehlah menghubungi talian SPAD 1-800-88SPAD (7723).

0 comments:

Post a Comment