KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (2.0) memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak sama ada memberi jawapan berhubung skandal 1Malaysia Developmnet Berhad (1MDB) atau kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan negara menghadapi perhimpunan Bersih 4.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, sikap berdiam diri perdana menteri tanpa penjelasan yang dibuat akan membuatkan rakyat marah, apatah lagi selepas laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa sejumlah besar wang disalurkan ke akaun pemimpin berkenaan.
"Najib juga perlu mendedahkan kepada umum butiran akaun banknya dan menjelaskan jika akaun AmBank yang wujud di atas namanya. Jika ya, tunjukkan butiran transaksi tersebut pada hari yang berkenaan.
"Semua hasil siasatan Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat yang berkaitan perlu diumumkan kepada umum dalam tempoh yang segera," kata Maria dipetik The Malaysian Insider.
Justeru katanya, perdana menteri diberi masa selama sebulan untuk memberi jawapan terhadap tuntutan berkenaan.
"Kami memang memikirkan mengenai itu (Bersih 4) tetapi kami mahukan jawapan daripada 4 perkara ini terdahulu.
"Sebab mengapa kami menekankan 4 perkara ini adalah kerana ia membabitkan wang rakyat. Beliau membuat pelbagai kenyataan tetapi tiada tindakan daripadanya.
"Contohnya, jika selepas sebulan tiada apa-apa yang berlaku, semua institusi awam tidak mahu memberitahu kita apa yang terjadi, semua orang akan berasa marah. Dan bukan sahaja kami yang menyeru untuk Bersih 4 diadakan, tetapi rakyat yang akan menuntut supaya ia diadakan," katanya.
WSJ pada Jumaat lalu mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.65 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Pendedahan laporan itu dikatakan sebagai penemuan oleh penyiasat Malaysia, yang berdasarkan dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan yang diperoleh akhbar berkenaan dan laman web Sarawak Report.
WSJ melaporkan, dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.
0 comments:
Post a Comment