Tuesday, July 7, 2015


Tun Dr Mahathir Mohamad membidas kembali kritikan bahawa beliau memalukan negara dengan bercakap kepada media antarabangsa berhubung isu 1MDB dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Menjawab kritikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman itu, Mahathir berkata pihak yang memalukan Malaysia sebenarnya Najib dan 1MDB, bukan beliau.

“Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Datuk Seri Najib dengan 1MDB-nya.

“Sebelum ini negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang,” katanya.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir berkata, jika “skandal” seperti itu berlaku di luar negara sudah tentu pemimpin itu akan meletakkan jawatan dan memohon maaf.

“Tetapi di Malaysia ada orang yang mempertahankan pemimpin tanpa sebab, hanya kerana keselamatan jawatan,” sindirnya.

Beliau mengulas kritikan Anifah padanya kerana memberikan wawancara kepada akhbar Amerika The New York Times.

“Mungkin Anifah tidak pernah baca suratkhabar Amerika sebelum usaha untuk memburukkan nama saya dijadikan asas mempertahankan perdana menteri Najib.

“Tetapi seluruh dunia tahu berkenaan Datuk Seri Najib, Jho Low dan 1MDB,” katanya.

'Anak tiri berlagak kaya'

Beliau juga berkata akhbar terkenal Washington, New York dan London juga telah menyiarkan rencana panjang berkaitan 1MDB, Najib dan dakwaan hidup mewahnya.

Mahathir juga dengan laporan berkaitan hartawan Jho Low dan anak tiri Najib Riza Aziz.

Selain itu Mahathir turut membangkitkan kajian pakar Barat bahawa Malaysia adalah salah sebuah daripada sepuluh negara tahap rasuahnya tertinggi di dunia.

“Tetapi Anifah tidak berasa malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya.

“Semua laporan yang memburukkan Malaysia dibuat sebelum saya mengkritik Datuk Seri Najib,” katanya lagi.

Mahathir juga berkata Anifah patut menyoal Najib dan menasihatinya “supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya”.

0 comments:

Post a Comment