Saturday, July 4, 2015

PETALING JAYA: Wall Street Journal (WSJ) mempertahankan laporannya bahawa berjuta-juta dolar AS disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menyatakan bahawa siasatan mereka adalah berdasarkan dokumentasi yang kukuh.
Ketua Biro jurnal itu di Hong Kong, Ken Brown berkata siasatan dilakukan dengan sangat serius kerana ia melibatkan tuduhan terhadap pemimpin tertinggi negara.

"Kami sangat berhati-hati dan kami percaya siasatan dan dokumen-dokumen yang kita ada adalah kukuh dan datang daripada penyiasatan yang boleh dipercayai dan bukan siasatan politik.
"Dokumen-dokumen yang kita lihat telah dikongsi dengan Peguam Negara Malaysia dan yang lain-lain dalam kerajaan. Ia telah dilihat oleh Perdana Menteri," Brown memberitahu CNBC dalam satu wawancara pada Sabtu.

Najib telah menafikan penemuan WSJ pada Jumaat, dengan menyatakan bahawa ia adalah satu muslihat politik oleh lawan-lawannya untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

Brown berkata tindak balas yang ditawarkan oleh Perdana Menteri dan pejabat beliau adalah hampir sama apabila mereka membuat laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

"Mereka (Pejabat Perdana Menteri) telah menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak mengambil apa-apa dana untuk kegunaan peribadi...mereka kata lawan politik beliau telah tampil dengan dengan cerita ini untuk menjatuhkannya.

"Mereka menyatakan perkara yang sama dari awal cerita kita mengenai 1MDB. Reaksinya adalah sama," katanya kepada CNBC.

Ditanya sama WSJ tahu tentang dari mana sumber wang itu diperolehi dan ia telah digunakan untuk apa, Brown berkata bahawa mereka 'tahu apa yang mereka tahu', sambil menambah bahawa wang yang dijejaki berakhir dalam akaun bank dengan nama Perdana Menteri di atasnya.

"Kita tahu apa yang kita tahu. Sejumlah wang telah datang dari satu unit di Kementerian Kewangan dan sejumlah wang lagi datang melalui bank swasta yang bergabung dengan Abu Dhabi.

"Ke mana wang itu pergi, kita tidak tahu. Jejak kita berakhir di akaun bank dengan nama Perdana Menteri di atasnya," katanya.

Dalam laporannya pada Jumaat, WSJ berkata daripada siasatan dan dokumennya, dilihat bahawa sejumlah AS$700 juta (RM2.7 bilion) telah dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

1MDB dan Pejabat Perdana Menteri telah sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut, dengan Najib menyalahkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersubahat dengan sekutu asing untuk mencemarkan imejnya.

0 comments:

Post a Comment