Monday, July 6, 2015


'Buat apa balik kampung kalau sekadar nak tunjuk barang kemas baharu' - penceramah
Kenyataan saya ditafsir di luar konteks - Syed Abdul Aziz
KUALA LUMPUR: Susulan kenyataannya yang menasihatkan orang ramai agar tidak balik kampung pada Hari Raya ini untuk menjimatkan perbelanjaan, pakar motivasi Syed Abdul Aziz Al Qubra tampil membuat penjelasan.

Memetik laporan Sinar Harian, Syed Abdul Aziz memberitahu kenyataannya dalam rancangan bual bicara di sebuah stesen televisyen itu sebenarnya telah disalah tafsir oleh masyarakat.

Jelasnya, apa yang diluahkan adalah jawapan kepada soalan yang diajukan oleh pengacara. Namun apa yang terjadi, ia ditafsir di luar konteks oleh orang ramai.

Kata beliau lagi, kebanyakan orang merasa terbeban dengan perbelanjaan kerana tidak merancang dari awal. Jika perancangan untuk balik kampung dibuat dari awal, lengkap dengan peruntukan bajet yang sesuai, ia tentu tidak mengundang masalah.

Balik kampung, kata Syed Abdul Aziz, bakal membawa kepada beberapa perkara lain yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, statistik yang dibaca pengacara menunjukkan 53 peratus wanita merasa perlu untuk membeli barangan kemas untuk berhari raya. Ia dilakukan kerana mahu mengelak dari ditegur saudara mara kerana memakai barangan kemas lama.

"Wang yang ada dibelanjakan untuk membeli barang kemas. Sedangkan kita semua perlu beringat, keadaan sekarang sudah cukup mencabar buat semua pihak," jelasnya.

Tambah Syed Abdul Aziz lagi, jika balik kampung sekadar untuk menunjuk barang kemas baharu atau kereta baharu, adalah lebih baik hasrat balik kampung itu dilupakan kerana bukan sahaja ia membazir, tetapi sudah menyimpang dari tujuan asal.

0 comments:

Post a Comment