ALOR SETAR - Tembelang seorang remaja perempuan berusia 22 tahun pecah apabila dia ditangkap bersekedudukan bersama pasangannya di sebuah bilik hotel, dekat sini. 

Pelajar sebuah kolej di Kuala Lumpur itu dikatakan sanggup menipu ibu bapanya dengan mengatakan tiket bas pulang ke kampung sudah habis.

Namun, ibu bapanya terkejut dengan kepulangan awalnya apabila terpaksa datang ke pejabat Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) untuk mengikat jaminnya, Sabtu lalu. 

Ketika ditahan, remaja itu dilihat berdua-duaan bersama pasangan yang turut berusia 22 tahun dan pelajar sebuah kolej di Pulau Pinang dalam keadaan mencurigakan. 
 
Turut ditahan, seorang lelaki dan perempuan bersama bungkusan plastik dipenuhi kondom dipercayai edaran kepada individu tertentu untuk tujuan maksiat. 

Difahamkan, seorang daripada pasangan berkenaan yang ditahan dalam serbuan di bilik hotel itu disyaki bertindak sebagai pengedar kondom berkenaan.

Ketika disiasat, mereka didapati tidak memiliki hubungan sah sebagai suami isteri.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pelbagai alasan diberikan pasangan dalam Ops Ramadan di hotel sekitar Alor Setar itu.

Antara alasan diberikan pasangan ditahan khalwat berkenaan adalah pergaduhan keluarga dan menghantar barangan untuk kegunaan sewaktu sahur.

“Mengenai remaja perempuan tersebut, dia memaklumkan kepada ibu bapanya akan pulang ke rumah pada hari Ahad, namun sebenarnya dia balik awal dari tarikh dimaklumkan.

"Malah, remaja itu juga bertindak menyewa di bilik hotel berkenaan bersama teman lelakinya," katanya.