Monday, May 18, 2015

20150518_183346
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak berganjak dari pendiriannya bahawa kejadian huru-hara yang terjadi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dengan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah berpunca dari keputusan pengadil.
Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kawalan yang telah dibuat oleh pihak keselamatan adalah cukup bagi menampung lebih 30,000 penonton pada malam itu, tetapi keputusan pengadil membatalkan jaringan menjadikan keadaan tidak terkawal.
“Dengan membatalkan jaringan itu, ianya menimbulkan kemarahan dikalangan peminat bola sepak negeri ini. Jika kejadian ini berlaku di tempat lain, perkara sama turut akan terjadi.
“Keputusan hendaklah dibuat secara tepat. Pengadil telah meniup wisel pertama mengatakan gol kemudian membatalkannya. Ini yang menimbulkan kemarahan mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, hari ini.
Tambahnya, surat bantahan yang ditandatangani oleh Setiausaha PBSNT, Arpin Deraman telahpun dihantar semalam kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin.
“Kita sedia maklum bahawa Dato’ Hamidin tidak akan berganjak dari keputusan yang dibuat tetapi bagi pihak peminat bola sepak Negeri Terengganu sememangnya merasa kecewa kerana sudah dua kali perkara hampir sama terjadi.
“Kali pertama berlaku pada perlawanan menentang Kelantan pada tahun 2013. Dalam kejadian itu, pengadil tersebut telahpun didapati bersalah serta dikenakan denda, namun keputusan perlawan turut tidak berubah,” katanya.
Dalam pada itu, PBSNT akur dan bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk menarik diri dari Liga Malaysia jika perkara tersebut dilihat ada sedikit penyelewangan.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak keselamatan yang bertungkus lumus pada malam kejadian tersebut terutamanya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Saya turut difahamkan bahawa tiga orang dari pihak keselamatan tercedera dalam insiden yang berlaku pada malam itu.
“Bagi pihak PBSNT dan penyokong bola sepak negeri, saya memohon maaf atas insiden tersebut,” katanya.

0 comments:

Post a Comment