Friday, March 27, 2015

  • Azraai ganti BoatengBoateng (lima,kanan) kali terakhir mengendalikan sesi latihan pada Isnin lalu sebelum dia dilantik selaku jurulatih kanan merangkap pengarah teknikal skuad Kelantan. (Kanan: Mohd Azraai Khor (dua,kiri) disambut Azman (depan) sejurus tiba Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Rabu lalu.)
 1 / 1 
POLEMIK melibatkan kedudukan George Boateng bersama The Red Warriors akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menggugurkan jurulatih berusia 39 tahun itu selaku pengendali pasukan berkenaan, pada Selasa lalu.

Pengguguran Boateng sekali gus membuka ruang kepada bekas jurulatih Kedah, Negeri Sembilan, Perak dan T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah untuk dilantik sebagai pengendali baharu pasukan itu.

Namun, jodoh Boateng bersama skuad pantai timur itu ‘masih panjang’ apabila dia dilantik serta-merta sebagai jurulatih kanan merangkap pengarah teknikal dan penasihat persatuan berkenaan.

Jurulatih berusia 39 tahun itu diberi skop kerja untuk merangka pembangunan jangka panjang termasuk mengendalikan latihan dan kursus kepada barisan kejurulatihan Kafa di semua peringkat.

Malah bekas pemain antarabangsa Belanda tidak keseorangan dalam mengendalikan tugasan baharu sebaliknya dia akan dibantu Mohd Hashim Mustapha setelah Kafa sekali lagi mencipta kejutan menurunkan pangkat bekas penolong jurulatih Kelantan itu.

Selain itu, jurulatih skuad Piala Presiden, Zahasmi Ismail kembali ke pangkuan pasukan  senior itu untuk bergandingan bersama Sideek Shamsuddin manakala Mohd Nafuzi Mahamad Zain terpaksa turun mengendalikan skuad pelapis mengharungi baki perlawanan selepas ini.


DRAMA BERAKHIR

Nama Mohd Azraai Khor tiba-tiba berada dalam radar pihak Kafa iaitu sebaik sahaja Kelantan tewas 0-1 ditangan Felda United FC pada perlawanan Liga Super di Kota Bharu, pada 14 Mac lalu.

Jurulatih berusia 62 tahun ketika itu berada di Sao Paolo Brazil bagi mengikuti satu kursus kejurulatihan bola sepak dan terpaksa menamatkan tugasan peribadinya lebih awal setelah mendapat ‘panggilan’ penting daripada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.


CAPAI KEPUTUSAN

Kemuncaknya, kedua-dua individu itu telah mengadakan pertemuan secara tertutup pada 21 Mac lalu dengan lokasi pulau lagenda, Pulau Langkawi menjadi saksi awal bahawa Kelantan sememangnya mahukan khidmat jurulatih kelahiran Alor Setar itu biarpun Kafa mengambil pendekatan kunci mulut enggan mengesahkan spekulasi tersebut.

Apa pun, bukan sesuatu yang mudah buat pihak Kafa membuat keputusan terutamanya bagi menyelesaikan kemelut dalaman melibatkan isu Boateng yang dikatakan gagal memacu Kelantan berada pada tahap terbaik dalam saingan Liga Malaysia ketika ini.

Ini memaksa Annuar sendiri turun padang bersemuka dengan barisan exco Kafa, semua pemain dan pegawai pasukan berkenaan dalam mesyuarat tertutup selama dua hari berturut-turut.

Rumusannya, seperti dimaklumkan Annuar, pengurusan Kafa berpuas hati dengan hasil pertemuan tersebut dan pengubahsuaian terhadap barisan kejurulatihan akhirnya terpaksa dilakukan dengan segera bagi memastikan TRW kembali memberi saingan tatkala jendela pendaftaran kedua dibuka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan depan.

0 comments:

Post a Comment