Gambar hiasan |
Hazumi anak sulung daripada enam beradik berkata, dia mula terjebak dengan gejala sosial sejak dari tingkatan tiga lagi apabila sering mengikut teman lelakinya merempit di sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, bermula dari situ, dia semakin ‘liar’ dan sering pulang lewat malam hingga pernah terlanjur beberapa kali dengan teman lelakinya.
“Jiwa muda merasakan inilah dunia yang saya cari. Saya dah besar panjang, inginkan kebebasan dan berseronok dengan teman lelaki yang memahami keinginan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Walaupun sering dimarahi ibu bapanya, Hazumi masih terus bersosial, tetapi dia yang cepat bosan dengan sesuatu aktiviti itu mula meninggalkan dunia rempit dan terjebak dengan budaya 'skin' dan 'punk'.
“Akibat pengaruh kawan juga, saya jadi gengster dan mula ikut kumpulan tertentu dengan perwatakan diri saya pun berubah. Rambut saya pacak, dan kalau rasa tak puas hati saya juga sanggup bergaduh,” katanya.
Hazumi berkata, setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia ditawarkan menyambung pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan perhotelan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Langkah saya makin panjang. Saya praktikal di hotel terkemuka.Semasa cuti semester saya bekerja sambilan di sebuah hotel dan pernah menerima bayaran daripada pelanggan untuk khidmat seks,” katanya.
Katanya, dia tidak pernah serik dengan perbuatannya itu sehinggalah bapanya tekad mengambil keputusan menghantarnya ke Baitul Ehsan agar Hazumi dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
Hazumi (tengah) bersama dua lagi bekas pelatih Baitul Ehsan mengakui insaf selepas memasuki pusat perlindungan wanita itu. |
“Masuk saja sini saya demam seminggu. Saya tak bebas, tapi lama-kelamaan saya makin selesa dan seronok dengan rakan-rakan di sini.
“Saya di sini hanya tiga bulan. Ketika melangkah keluar, hati jadi sebak dan sayu kerana terpaksa tinggalkan rakan-rakan,” katanya.
Menurutnya, sejak dari itu, dia tekad untuk berubah dan menyambung pengajiannya dalam bidang kemahiran di Pekan, Pahang sebelum bertemu jodoh dengan seorang duda yang sememangnya lelaki terbaik yang membimbingnya ke jalan kebenaran.
“Kalau tak kerana ibu bapa saya yang suruh masuk ke Baitul Ehsan, tak tahulah kehidupan saya pada masa sekarang. Saya juga bersyukur kerana mendapat suami yang dapat menerima saya seadanya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment